JURANG PENCAPAIAN AKADEMIK ANTARA PELAJAR LELAKI DAN PELAJAR PEREMPUAN




Pengenalan

            Pendidikan atau penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain untuk menjamin kesejahteraan ummah. Negara Malaysia yang tercinta mendokong aspirasi pembelajaran sepanjang hayat dengan menyokong pendidikan awal hinggalah kepada pendidikan tertiari dan peringkat pendidikan pasca-siswazah. Pendidikan sepanjang hayat ini amat dititikberatkan untuk kesejahteraan umat manusia yang holistik (Willet & Eccles, 2011). Tidak dapat dinafikan bahawa dalam pembelajaran, setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza dari aspek penerimaan ilmu yang diajar. Penerimaan ini bergantung kepada pelbagai faktor seperti persekitaran tempat belajar, kaedah guru menyampaikan input, bahan bantu mengajar yang relevan serta jantina, iaitu perbezaan antara pelajar lelaki dan perempuan.

            Jurang perbezaan pencapaian akademik di antara pelajar lelaki dan perempuan di peringkat sekolah lagi memberikan kesan yang mendalam terhadap bilangan pelajar yang mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Ini terbukti apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan di Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara mencatatkan peratusan melebihi 70 sejak akhir-akhir ini. Selain itu, prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat sekolah menyumbang kepada penafian peluang pelajar lelaki melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Fenomena ini jika tidak diubati bakal memberikan impak yang negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara. Pelajar-pelajar lelaki sebegini tededah kepada gejala-gejala sosial yang semakin menular dan lebih berpotensi untuk mengetepikan diri mereka daripada sistem persekolahan lebih awal lagi. Situasi ini ternyata memberikan cabaran yang tinggi kepada para pendidik dan sekolah secara amnya dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar lelaki.  Saban hari, isu bilangan pelajar perempuan yang jauh lebih ramai daripada pelajar lelaki di universiti semakin merisaukan pelbagai pihak (Fall & Robert, 2012). Perkara ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, malah setiap kali tibanya waktu perbincangan mengenai pencapaian pelajar di institusi pengajian tinggi, isu jurang pencapaian akademik antara pelajar berlainan jantina ini kerap menjadi topik yang hangat diperkatakan.


Kajian Literatur

Laporan penilaian antarabangsa terhadap jurang pencapaian akademik antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan merumuskan bahawa pelajar perempuan mencapai prestasi yang jauh lebih membanggakan jika dibandingkan dengan pelajar lelaki (UNGEI, 2012). Faktor motivasi dan psikologi dianggap sebagai sebab utama yang mempengaruhi pencapaian dan pengambilan bahagian kaum lelaki dalam pendidikan. Menurut Li dan Lerner (2013), institusi pendidikan yang gagal mengambil berat tentang keperluan psikologi pelajar-pelajar mereka menyumbang kepada penurunan minat pelajar terhadap bidang akademik terutamanya pelajar lelaki. Tekanan terhadap pelajaran, terutamanya kepada pelajar remaja lelaki dan perempuan memberi peluang kepada kewujudan jurang pencapaian akademik di kalangan mereka (Parker & Salmela-Aro, 2011). Ini membawa kepada penurunan tahap motivasi, penularan gejala ponteng sekolah dan akhirnya berhenti dari sekolah.

Menurut Nik dan Salleh (2014), pelajar lelaki lebih cemerlang berbanding pelajar perempuan. Walau bagaimanapun, golongan pelajar yang paling kurang cemerlang juga datangnya daripada yang lelaki. Mereka merumuskan bahawa pelajar perempuan lebih stabil dan sekata dalam mata pelajaran yang diambil iaitu dengan mendapat keputusan yang tidak terlalu tinggi ataupun rendah. Kedudukan pelajar perempuan adalah seimbang berbanding dengan pelajar lelaki. Mohd Zuri Ghani dan rakan-rakan (2010) dalam kajian mereka mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan personaliti kestabilan emosi yang signifikan dalam kalangan pelajar pintar cerdas akademik berdasarkan jantina tetapi perbezaan yang dikenalpasti hanyalah dari aspek jenis sekolah. Nurciana Nasaruddin dan rakan-rakan (2010) dalam kajian mereka mendapati bahawa pencapaian akademik pelajar lelaki lebih baik daripada pelajar perempuan. Mereka menyimpulkan bahawa ekologi gender boleh memberi kesan kepada tingkah laku pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar.

Menurut Amla dan rakan-rakan (2014) pula, tiada perbezaan jantina yang signifikan dalam keterlibatan pelajar di sekolah, sokongan pembelajaran dan pencapaian akademik. Keterlibatan pelajar di sekolah merupakan perantara dalam hubungan jantina dan pencapaian akademik. Kajian yang dijalankan mengenai jurang pencapaian akademik mengikut jantina mengetengahkan bahawa kesan gaya pembelajaran serta kemahiran dan strategi pembelajaran memihak kepada pelajar perempuan daripada lelaki. Gaya dan kemahiran belajar pelajar perempuan bersesuaian dengan gaya pengajaran guru perempuan serta persediaan untuk peperiksaan (Zalizan & Hazadiah, 2010). Fenomena jurang pencapaian akademik yang masih berterusan hingga ke hari ini menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan bilangan pelajar di peringkat pengajian tinggi. Perkara ini dapat dilihat daripada enrolmen pelajar perempuan yang melebihi pelajar lelaki di universiti-universiti di Malaysia (Kementerian Pengajian Tinggi, 2012). Dari aspek penglibatan dalam aktiviti akademik pula, pelajar lelaki tidak begitu cenderung untuk merancang, memantau dan mengawal aktiviti dan kemahiran belajar sebagaimana pelajar perempuan (Nor Aniza et al., 2011).


Cadangan Penyelesaian Isu

Kursus pendidikan guru dan latihan dalam perkhidmatan yang lebih relevan harus dijalankan di sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri. Mereka perlu memberikan fokus terhadap perbezaan jenis sekolah dan gaya pembelajaran mengikut jantina. Hal ini demi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Kurikulum pendidikan yang lebih sensitif kepada jantina dan kepelbagaian pelajar harus diberikan penekanan yang sewajarnya. Ibu bapa harus memainkan peranan mereka dengan menjadi warga yang prihatin terhadap gaya pembelajaran anak lelaki dan perempuan. Perkara ini akan membolehkan para ibu bapa menyediakan persekitaran yang lebih sesuai serta memberi motivasi dan galakan pembelajaran yang difikirkan sesuai.

Oleh sebab pada hari ini, ramai di kalangan warga lelaki tidak minat belajar, maka pihak Institusi Pengajian Tinggi harus mengambil kesempatan untuk menawarkan lebih banyak kursus yang digemari oleh pelajar lelaki. Ini akan menarik minat pelajar-pelajar lelaki untuk melanjutkan pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ceramah-ceramah yang bersesuaian turut dapat diadakan di sekolah-sekolah untuk memupuk semangat belajar dengan tekun dalam kalangan pelajar-pelajar terutamanya yang lelaki. Hal ini akan memberikan ruang untuk persaingan secara sihat antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan sekaligus mendorong mereka untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

Para guru perlu mempelbagaikan strategi pengajaran mereka dan menitikberatkan kreativiti dan inovasi dalam pengajaran. Ini harus disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan masing-masing. Guru-guru boleh mengubahsuai suasana di dalam kelas seperti bunyi, mobiliti dan persekitaran kelas tersebut secara amnya supaya memenuhi profil gaya pembelajaran yang lebih digemari oleh pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Justeru itu, guru-guru perlu mengambil kira situasi serta ruang belajar di dalam kelas untuk mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan selesa dengan keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza.

Kesimpulannya, pihak-pihak yang berkenaan harus berganding bahu dalam usaha mencari jalan bagi mengatasi masalah jurang pencapaian akademik antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Hal ini akan membolehkan kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang mampu meletakkan nama negara Malaysia yang tercinta di persada dunia.




           
Disediakan oleh,
DURGA A/P GNANASAGARAN
M20162002185





RUJUKAN


Amla Salleh, Zalizan M. Jelas, Norzaini Azman, Rohana Jani, Ramlah Hamzah, Izwan Mahmud, Zaleha Ab. Hamid, Hanizah Hamzah & Hutkemri. (2014). Perbezaan gender dalam sokongan pembelajaran dan pencapaian akademik: peranan perantara keterlibatan murid di sekolah. Malaysian Journal of Learning and Instruction. 11, 237-262.

Fall, A.M., & Roberts, G. (2012). High school dropouts: Interactions between social context, self-perceptions, school engagement and student droput. Journal of adolescence, 5, 787-798.

Kementerian Pengajian Tinggi. (2012). Enrolmen pelajar di IPTA dan IPTS mengikut bidang pengajian 2010 dan 2011. Retrieved from: http://www.mohe.gov.my.

Li, Y., & Lerner, R.M. (2013). Interrelations of behavioural, emotional and cognitive school engagement in high school students. Journal of Youth and Adolescence, 42(1), 20-32.

Mohd Zuri Ghani, Nik Rusila Nik Yaacob, Azman Che Ahmad, Rahimi Che Aman & Zainuddin Mat Isa. (2010). Perbezaan personaliti kestabilan emosi dalam kalangan pelajar pintar cerdas akademikberdasarkan jantina dan jenis sekolah. Retrieved from:
https://www.researchgate.net/publication/291998062_Perbezaan_Personaliti_Kestabilan_Emosi_dalam_Kalangan_Pelajar_Pintar_Cerdas_Akademik_PCA_berdasarkan_Jantina_dan_Jenis_Sekolah?enrichId=rgreq-d6a6cc6926657288e892180f377b11c5-XXX&enrichSource=Y292ZXJQYWdlOzI5MTk5ODA2MjtBUzozMjI0NTE5OTU1OTQ3NTRAMTQ1Mzg4OTk1NDU0Mw%3D%3D&el=1_x_2&_esc=publicationCoverPdf

Nik Syuharul & Salleh Amat. (2014). Kajian terhadap perbezaan pencapaian SPM pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dan faktor yang mempengaruhinya. Retrieved from: http://digilib.unimed.ac.id/4784/1/Fulltext.pdf

Nor Aniza Ahmad, Zalizan Mohd Jelas & Manisah Mohd Ali. (2011). The relationship of learning styles and strategies based on gender and type of school. International Journal of Learning, 17, 265-278.

Nurciana Nasaruddin, Zalizan Mohd Jelas & Saemah Rahman. (2010). Jurang pencapaian akademik mengikut gender dan jenis sekolah di Sekolah Menengah Agama Negeri. International Journal of Learner Diversity, 2(1), 135-146.

Parker, P.D., & Salmela-Aro, K. (2011). Developmental processes in school burnout: A comparison of major developmental models. Learning and individual differences, 21(2), 244-248.

UNGEI. (2012). Why are boys underperforming in education : Gender analysis of four Asia-Pacific countries.

Willet, J. B., & Eccles, J. S. (2011). The assessment of school engagement: Examining dimensionality and measurement invariance by gender and ethnicity . Journal of school psychology, 49, 465-480.

Zalizan Mohd Jelas & Hazadiah M. Dahan. (2010). Gender and educational performance: The Malaysian Perspective. Procedia social and behavioral science, 7, 720-727.